Cerpen: Sihir

by - Januari 02, 2021



"Hei!” Terjerit Aina lalu cepat-cepat dia bangun...menjauhi meja makannya yang digelendangi air minumnya.

“Budak puaka!” Matanya merenung tajam muka bulat si kecil dihadapannya. Si kecil hanya tunduk mengetap bibir...ketakutan.

“Menyusahkan orang je...laknat betul!” Bertubi-tubi makian dan sumpahan keluar dari mulut Aina.

Dia bingkas bangun dan mengangkat buku-bukunya dari meja yang telah dibasahi air.

Mata Aiman mula berkaca-kaca. Dia gembira dapat mengikut mama dan sepupunya Laila keluar makan lewat malam. Seketika tadi, dia riang kerana restoran agak lenggang dan dia sepert raja dapat berlari ke sana sini.

Tanpa sengaja dia terlajak dan tersadung meja makan yang dihuni Aina. Bukan niatnya untuk menumpahkan air minuman Aina. Dia betul-betul tidak sengaja.

“maaf ye dik...anak akak tak sengaja..” Murni yang tadinya ada di kaunter segera berlari mendapatkan Aiman. Dia mengeluarkan beberapa helai tisu dari beg tangannya lalu tangannya ligat mengelap sisa air di atas meja.

“Aiman..” lengan kecil Aiman ditarik lembut dari bersembunyi di belakangnya.

“minta maaf dengan kakak..” arah Murni.

“saya minta maaf...saya tak sengaja...” perlahan suara Aiman keluar dari mulut kecilnya. Kepalanya hanya tunduk memandang lantai. Tidak berani dia menatap wajah Aina yang berang.

“nanti akak gantikan air adik...maaf ye..”

Muka Aina masih masam mencuka. Wajah Murni dan Aiman langsung tidak dipandangnya. Benci betul dia kepada mereka anak beranak.

Murni berlalu ke kaunter sambil menarik tangan Aiman yang masih ketakutan. Laila yang tadinya terpekik-pekik dikejar Aiman hanya duduk menyorok di tepi kaunter.

“ada anak tapi tak tahu jaga...tak payah beranak la...dah la mengganggu, menyusahkan orang pulak tu.” Aina mula bersuara dengan agak lantang setelah Murni berlalu pergi. Sengaja dia berbuat begitu agar Murni mendengar setiap patah bicaranya.

“tak guna.....Jahanam!” masih lagi bersisa makian dari bibirnya.

 “adik...bagi saya air yang budak perempuan tu order tadi” Murni menunding pada Aina yang masih berbunyi tidak puas hati.

“ni duitnya... Boleh tolong hantar pada dia?” pinta Murni dengan mata mengharap. Pekerja itu hanya mengangguk.

Ali yang baru sahaja keluar dari tandas restoran agak kaku seketika melihat adegan drama yang berlaku di depan matanya. Belum sempat dia melangkah ke tandas semula...namanya dipanggil.

“ayah...ayah...” Aiman yang tadinya muram kembali ceria apabila terpandangkan wajah Ali. Ali mula serba salah. Nak buat tak kenal...jarak mereka tak sampai lima langkah. Nak buat-buat pengsan..tak sanggup nak berbaring atas lantai yang tak dijamin tahap kebersihannya.

Umpama kerang busuk..Ali hanya mampu tersengih sambil menghampiri Aiman dan Murni yang terpacak berdiri di kaunter.

“mana client abang? Kata ada meeting...” soal Murni sambil matanya meninjau kawasan sekitar restoran.

“ada kat dalam kereta...abang tumpang tandas.. ” dalih Ali. Sesekali matanya mengerling Aina yang masih lagi sibuk upload story dengan telefon pintarnya. Pasti Aina tidak sedar Aiman memanggilnya ayah tadi, getus hati Ali.

Murni mengetap bibir. Geram dan kecewa. Sempat lagi anak matanya mengerling pada gadis yang bermuka masam di sudut restoran.

Tanpa menunggu lama..tangan Aiman dan Laila ditarik keluar dari restoran...meninggalkan Ali yang berdiri kaku seperti tugu keseorangan.

Hatinya sedikit tercalar dengan kata-kata Aina terhadap Aiman dan Laila. Bertambah sakit melihat sendiri kecurangan Ali.

Pintu kereta dibuka dan anak kecil itu diarahkan masuk ke dalam.

“aku baru je nak keluar...kau dah order makan ke?” Hani tertanya-tanya sambil memasukkan telefon bimbitnya ke dalam poket seluar.

“sorrylah...aku balas wassup tadi...terleka pulak. Kau marah ke aku lama sangat main phone?” bertalu-talu soalan keluar dari mulut Hani.

“aku teringin nak makan kat mamak la..” Murni cuba menyembunyikan drama yang berlaku sebentar tadi dari pengetahuan Hani.

“apasal pulak! Makanan kat sini dah habis ke? Diaorang nak tutup ke?” Hani masih lagi tak puas hati.  Matanya yang penuh tanda tanya mula beralih pada kanak-kanak yang duduk diam di tempat duduk penumpang.

“korang dah kenapa? Selalu terlebih gula...melompat sana sini...”

“siapa yang beritahu...nanti Mak Ngah belanja aiskrim kek dengan shopping kat Toys R Us..” pancing Hani.

Aiman dan Laila yang tadinya agak diam mula melonjak ke tempat duduk hadapan. Setiap apa yang berlaku diceritakan semula kepada Mak Langnya walaupun Murni menghalang.

“hal kecil je Hani...aku tak kisah pun. Jomlah kita pergi” rayu Murni sambil memaut lengan Hani.

Pautan Murni ditepis perlahan dan Hani terus keluar dari kereta.

Wajahnya tegang dan anak matanya mula kemerahan. Dari luar restoran jelas terlihat kemesraan antara abangnya dengan wanita bermulut durjana itu. Pasti abang menggunakan sihir pemikat yang dahulunya pernah dimiliki oleh arwah ayah, bisik hati Hani. Terbit rasa bersalah terhadap kakak iparnya.

Terkumat-kamit mulutnya melafazkan mantera yang dipelajarinya dari datuknya.

***

Aina berasa agak mual. Kepalanya mula pening dan pandangannya agak bergoyang-goyang. Dia seperti mahu rebah.

“you tak apa-apa ke sayang...” tanya Ali lembut sambil memeluk tubuh Aina dari belakang.

“sakit kepala...jom balik hotel.” Balas Aina manja. Mungkin kerana dia terlalu marah tadi hingga menyebabkan hormonnya tidak stabil.

Perkataan hotel membuatkan senyuman buaya Ali bertambah lebar. Tapi, apa alasan yang perlu dia berikan pada Murni. Ah! Nanti belanja makan pun dah cukup...

***

Aina kembali berbaring di atas katil. Ali yang ada disebelahnya berdengkur tanpa sedar apa yang berlaku. Berkali-kali Aina ke bilik air dan memuntahkan segala isi perutnya. Lemah rasa tubuh badannya. Kepala sakit berdenyut...manakala tekaknya pedih.

Tubuh Ali digoyang perlahan beberapa kali.

“nak apa! orang nak tido pun tak senang!” tengking Ali. Setelah sedar orang yang dimarahi Aina dan bukan Murni...Ali bingkas bangun. Dengan muka bersalah dan senyuman kambing, Ali mengurut-urut kaki Aina yang sedang bersandar di kepala katil.

Wajah Aina berkerut...agak terkejut ditengking begitu. Pasti Ali bermimpi buruk, fikirnya lagi.

“kenapa sayang?” tanya Ali lembut.

Tangan Ali yang sedang memicit kakinya segera ditepis. Dia mahu Ali tahu dia sedang merajuk dan minta dipujuk rayu.

“selalunya...kawan serumah I yang suka ganggu I tido..I tak marah you pun...” dalih Ali.

Wajah Aina masih mencuka.

“sebagai denda...I janji bawa you bercuti hujung minggu ni.” Janji Ali memujuk sambil tangannya mengusap lembut bahu dan tangan Aina.

Aina yang tadinya masam kembali senyum lalu kepala direbahkan pada bahu Ali..manja.

***

Punat pam tandas ditekan. Aina terduduk lemah di atas lantai tandas. Sejak pagi dia muntah tanpa henti. Habis segala isi perutnya dikeluarkan. Entah penyakit apa yang menimpanya ketika itu.

Kepalanya berdenyut dan pandangannya mula berpinar. Tanpa sedar dia tersungkur mencium lantai tandas dan tidak sedarkan diri di situ.

Ali masih lagi menunggu dengan sabar di lobi hotel. Sekejap bersilang kaki...sekejap dia bangun mundar mandir. Beberapa orang pekerja hotel mula memandangnya yang tidak keruan.

Lambat betul perempuan ni bersiap. Selalunya dua jam...dah dekat tiga jam...masih lagi tak turun. Hati Ali mula panas. Hilang minatnya untuk berjalan-jalan di Asean Trade Bazaar dan Khlong Hae floating market. Menambah rasa sakit hati apabila cita-citanya untuk mendapatkan rawatan massage juga tidak kesampaian.

Perempuan ni dah mati ke dalam bilik, guman Ali di dalam hati bengkaknya.

Ali meraba-raba poket baju kemeja bunga dan seluar jeans ketatnya. Baru dia teringat. Kad untuk membuka pintu hanya ada satu sahaja...dan kad itu digunakan untuk menghidupkan suis lampu dan alat pendingin di dalam bilik. Dia mendengus kasar.

Matanya terpandang seorang cleaner yang sedang terbongkok-bongkok menolak troli yang penuh dengan cadar.

Perlahan-lahan dia merapati cleaner tersebut.

“hello...” tegurnya.

Gadis itu mengangkat muka.

Hati Ali mula bergoncang. Pantang nampak gadis berdahi licin...hatinya mula buat hal lagi.

“sawadikap.. you can help me open my room door...” bersepah-sepah ayatnya sambil mata jahatnya menyapu bersih potongan gadis di hadapannya dari hujung rambut ke hujung kaki.

“sawatdee kah...mi penri..” balas gadis itu sambil mengeluarkan kad dari bawah timbunan cadar. Satu isyarat diberikan kepada Ali agar menunjukkan bilik kepadanya.

“room number tu tu tree..” tunding Ali. Tanpa banyak soal, gadis itu terus menuju ke pintu yang disebutnya tadi.

Mulut Ali mula terkumat kamit...bermantera.  Sihir pengasih perlu dikenakan ke atas gadis itu. Sekurang-kurangnya...ada juga gadis yang akan menemaninya berjalan-jalan sekiranya Aina masih lagi tidak sihat.

Usai membuka pintu bilik...gadis itu terpana seketika. Hatinya mula rasa tidak keruan. Sebaris ratib dan ayat mantera dibacanya dan tanpa Ali sedari...dia meludah ke lantai..betul-betul di hadapan pintu bilik.

“thank you dear...” Ali tersenyum lebar. Pasti sihirnya tadi dudah melekat pada gadis manis itu.

Gadis itu hanya tersenyum nipis dan tertunduk. Hatinya sedikit sebal. Sudahlah ditolong... disihirnya lagi.

“you wait me at lobby baby...I will come to youuu..” pekik Ali penuh rasa teruja.

Tanpa sedar...dia terpijak air ludah yang ada di hadapan pintu.

Hati Ali mula berdebar-debar. Kepalanya berdenyut dan matanya pula mula berpinar. Tangkal pengasih yang tersangkut di lehernya mula rasa berat dan panas.

Bibir Ali mula bermantera. Pasti ada yang tidak kena. Dia dapat merasakan...seolah-olah sihirnya sudah mula kehabisan kuasa. Ali mula menyumpah.

Kini..sihirnya mula tidak berkesan. Badan Ali mula terasa lemah. Sendi-sendinya berasa sakit dan bisa. Tubuh Ali melayang dan dia jatuh tidak sedarkan diri.

***

“hei tak guna! kau sihirkan aku ke”

Hani tersenyum simpul. Menyesal pula mengangkat panggilan telefon dari abangnya.

“kenapa tiba-tiba call. Ada kematian ke?” sakit hati Ali mendengar soalan dari Hani. Duitnya sudah habis dilaburkan pada Aina. Tiba-tiba gadis genit itu berubah hati dan benci padanya.

“kau ni memang tak guna...kau yang patahkan sihir pengasih aku kan” tuduh Ali lagi.

“aku cuma belajar santau dari atok...itupun tak khatam lagi. Sihir patah mematah ni bukan bidang aku. Tapi kalau kau nak aku santaukan kau...bagitahu aku” talian segera dimatikan. Bibir Hani mekar dengan senyuman. Padan muka kau. Akhirnya bertemu buku dengan ruas.

***

Aina nekad. Dia harus lakukan medical check up. Sakitnya kali ini bukan biasa-biasa. Jika doktor pun tidak dapat mengesan punca sakitnya....dia pasti dia terkena buatan orang. Dia perlu segera mencari bomoh atau pawang yang handal untuk membantunya.

“cik Aina Kareena Rinrin. Sila masuk ” namanya dipanggil oleh jururawat.

Senyuman lebar diberikan oleh doktor dan jururawat yang bertugas sebaik sahaja punggung Aina singgah di atas kerusi.

“cik tak boleh stress...kena banyak makanan yang berkhasiat dan jangan angkat barang yang berat-berat. Saya akan bagi pil vitamin..kena makan sebiji sehari ye..”

Aina terpinga-pinga seketika.

“kandungan cik dah nak masuk trimester kedua. Biasalah...dalam trimester pertama ni. Ramai ibu yang pening, loya...morning sickness”

Aina melopong. Anak siapa dalam perut aku ni. Takkan anak lelaki pelik yang aku jumpa terbaring dalam bilik aku kat Thailand tu...

Tidak!

-TAMAT-

By: Sarina Sidik

You May Also Like

0 comments