Cerpen: Lola?

by - Januari 02, 2021



“Tahun bila agaknya awak nak pasang Cukoo kat rumah kita ni bang? Jiran-jiran semua minum air yang berkualiti...” Hasnah mula memanaskan enjin mulutnya sebelum memulakan leteran selanjutnya.

“Deria rasa awak tak berfungsi ke? Dah dua tiga hari ni...air paip ni rasa payau-payau kelat. Saya masak ke..buat kopi ke...sama je rasanya...”

Zainal masih lagi membisu. Matanya masih melekat di skrin TV. Umpama mempunyai perisai ajaib...setiap kata-kata Hasnah sedikitpun tidak tembus dan masuk ke telinganya.

“Awak dengar tak?” Hasnah mula panas hati. Teko yang ada di tangannya sengaja dihempas kuat ke atas meja dapur. Dengan langkah laju mencari gaduh...dia mara ke arah Zainal yang masih lagi berlengkar di atas sofa.

“Abang!” tinggi suaranya...sedikitpun tidak mengejutkan Zainal. Zainal berpaling sejenak dan tersengih.

“Tengok ni yang...mat saleh ni boleh makan mi pakai hidung..” Zainal menunding pada skrin TV tanpa menghiraukan Hasnah yang sudah hampir kehijauan kerana terlalu marah.

Hasnah masih lagi kaku berdiri..memandang tajam pada Zainal.

“Nantilah kita pasang cukoo tu...” perlahan Zainal bersuara...berusaha memujuk Hasnah yang hampir kerasukan.

“Bila? Abang tahu janji aje!” semakin tinggi suara Hasnah.

“Tunggu abang kena ekor...” selamba Zainal menjawab...menambahkan lagi bahang di hati Hasnah.

Hasnah berjalan menuju ke arah sofa di sebelah Zainal sambil menghentak-hentak kaki tanda protes. Berkeriut sofa rotan mereka apabila tubuhnya dihempaskan di atas sofa tersebut.

“Saya tahu awak marah...tapi tak perlulah berkawad depan saya..” Zainal mula mengusik.

Hasnah memalingkan muka masamnya. Sedikitpun dia tidak mahu memandang wajah Zainal ketika itu.

“macam ni lah...saya bagi awak pilih..” Zainal bangkit membetulkan duduknya.

“Awak nak cukoo ke atau awak nak kereta? Kalau ada kereta...senang awak nak ke pasar..boleh bawa mak abah jalan-jalan, kalau dorang singgah ke sini..”

Sepantas kilat Hasnah menoleh...memandang tepat ke wajah suaminya dengan raut wajah yang masih mencuka.

“Saya nak dua-dua..”ujar Hasnah dengan nada mengada sambil tercebik-cebik. Tiba-tiba muncul sifat tamak dalam dirinya.

“Saya cuma boleh tunaikan satu je permintaan awak. Lagipun...awak ingat saya ni jin aladdin? ”

Hasnah bangun dan terus duduk di sisi Zainal. Lengan baju pagoda Zainal ditarik-tarik manja.

“Tahun ni saya nak kereta...tahun depan awak pasang cukoo boleh?” Hasnah mula berkompromi.

Zainal mengangguk perlahan. Nasib baik aku habiskan duit untuk kau...kalau aku menggatal kawin satu lagi...kau juga yang susah, bebel Zainal di dalam hati.

***

Hasnah mula gelisah. Ke hulu ke hilir di berjalan. Sesekali di menyelak kain langsir dan mengintai keluar.

Zainal yang baru pulang dari kerja langsung tidak dihiraukan.

“Awak tunggu saya balik kerja ke atau awak tunggu boipren lain?” soal Zainal sambil meletakkan beg bimbitnya di atas meja kopi. Tali lehernya yang sudah melorot segera ditanggalkan. Butang pada lengan kemejanya segera dibuka dan lengannya dilipat ke atas.

“Saya teringin nak minum air milo tarik yang Cik Hasnah tu buat...” pinta Zainal sambil mengerling pada Hasnah yang masih resah.

Zainal menghela nafas panjang dan bangun dari duduk.

“Tak apalah. Saya minum air kosong aje lah..”

Hasnah yang masih gelisah segera bergegas ke dapur sebelum Zainal sempat mengatur langkah ke sana. Raut wajahnya masih lagi cemas.

“Abang..” satu mug air milo yang masih berasap diletakkan di hadapan Zainal.

“Saya risau lah.” Hasnah mengetap bibir sambil membiarkan Zainal menikmati minumannya.

Muka Zainal sedikit berkerut.

“Dah dua tiga hari Lola tak balik rumah. Entah merayau ke mana agaknya. Saya risaulah bang..” Hasnah menyuarakan isi hatinya.

“Biarlah...nanti dia balik la tu..” selamba Zainal menjawab.

“mana boleh biar! Saya dah anggap Lola tu macam anak saya sendiri. Saya curahkan kasih sayang saya pada dia sepenuhnya...” air mata Hasnah mula menitik.

“Tapi..saya tak anggap dia macam anak saya...saya..”

“Awak ni memang kejam tau! Dari kecil saya bela dia...” ayat Zainal segera dipotong. Hasnah mula mahu meraung.

Zainal bangkit dan mencapai tali leher dan beg bimbit. Kepala Hasnah yang sedang teresak-esak diusap perlahan.

“Lepas saya mandi dan solat...kita sama-sama cari dia. Nanti kita tanya jiran-jiran kalau ternampak dia ye..” pujuk Zainal sambil tersenyum nipis.

Hasnah mengangkat muka memandang Zainal dengan mata yang berkaca-kaca. Satu anggukkan lemah diberikan tanda setuju dengan cadangan Zainal.

“Lagi satu...saya tak mampu nak habiskan milo awak tu...masin sangat..” ujar Zainal sebelum berlalu ke bilik.

Hasnah menutup mulutnya yang terlopong dengan kedua-dua tangan. Pasti dalam kecelaruan tadi...tanpa sengaja dia terletak garam di dalam minuman suaminya.

***

Setelah dua minggu berlalu..akhirnya misteri kehilangan Lola terungkai.

Hasnah pengsan sebaik sahaja Lola dibawa keluar dari tangki rumahnya. 

Pada awalnya Zainal mengupah orang untuk membaiki bumbung tangki yang telah pecah. Penemuan Lola di dalammya membuatkan hampir semua penduduk di kawasan kejiranan kembang tekak.

Dolmat tersenyum sinis dari jauh. Dendamnya pada Lola sudah lunas. Lengan dan wajahnya yang dicakar Lola tempoh hari..masih terasa bisa dari kuku Lola.

Dia berpaling dan mula melangkah ke motosikalnya yang di parkir di bawah pokok rambutan tidak jauh dari situ.

Suara menderam membuatkan bulu roma Dolmat mula meremang. Lantas dia mengangkat muka..memandang ke atas.

Sekumpulan kucing dengan bulu yang tegak memandang tajam padanya. Mata hitam dan bunyi yang dari kumpulan haiwan itu membuatkan Dolmat sedikit goyah.

Helmet lejen yang ada di tangannya terlepas jatuh ke bumi. Kepala lutut Dolmat mula menggeletar kerana cuak. Jika seekor dua...mungkin mampu untuk dia elak. Tapi..lebih dua puluh ekor kucing dalam posisi sedia untuk menyerangnya... mampukah dia untuk mempertahankan dirinya.

Terbayang saat dia bertarung dengan Lola tempoh hari. Bagaimana dia mematahkan leher Lola hingga Lola terkulai tidak bernyawa. Dia berusaha untuk panjat ke atas bumbung rumah Zainal dan memecahkan bumbung tangki air mereka. Betapa puas hatinya setelah menghumban Lola ke dalam tangki air untuk menghapuskan bukti kerja kejinya. 

Panas hatinya apabila terpijak tahi kucing ketika baru menyarung kasut kulit baru. Kebetulan...Lola pula lalu di situ. Tanpa usul periksa...Lola dipersalahkan. Hendak bertanya...Lola pasti tidak mampu menjawab balik. Bagi melepaskan geram...Lola yang menjadi mangsa.

Dalam keadaan terketar-ketar..Dolmat terduduk di atas tanah. Dia hanya berserah dan bersedia menerima hukuman atas kesalahannya.    

-TAMAT-

by: Sarina Sidik

You May Also Like

0 comments